Ketika kamu masih dalam kandungan,ibumu menanggungmu penuh keperitan dan kepenatan namun tiada ia mengeluh, bahkan tangannya tinggi menadah kepada tuhan agar ia dikurniakan anak yang baik, yang cantik, yang bijak, yang beriman, yang menjadi cahaya matanya, yang menjadi tempat berteduh ketika ia telah tua. Namun kamu membalasnya dengan terjahan di dalam perutnya. Tapi ibumu hanya berkerut mukanya menahan sakit sambil tangan mengusap perutnya.
Ketika kamu dilahirkan, ibumu memelukmu erat memberikan susunya, mengusap kepalamu dengan penuh kasihnya, bersengkang mata hingga ke kejauhan malam bimbang tidurmu terganggu. Namun kamu membalasnya dengan berak dan kencingmu dan tangisan memecah malam yang sepi. Tapi ibumu tetap senyum menepuk dan memujukmu dengan dodoian lagu samar-samar lahir dari bibirnya.
Ketika usiamu melangkahi musim, kamu disuapkan nasi, dihayunkan dalam buaian, dimandikan air suam, disalinkan pakaian selalu dan mengajarmu bertatih. Namun kamu sepahkan makanan, bebal tak tentu punca, berak kencing merata. Tapi ibumu tetap merasa bahagia.
K etika kamu mula berkata-kata, mengajuklah ibumu setiap kata-katamu, dibisiknya kata ‘emak, abah’sebagai kata yang mula. Namun bila besar ibumu tidak cantik di bibirmu. Tapi ibumu masih ibumu jua.
Ketika menghantarmu ke sekolah, kamu dipakaikan pakaian baru, dibekalkan sarapan takut anaknya lapar, menghantarmu dengan harapan menggunung, menyiap masakan dirumah menunggu anaknya pulang. Namun hasrat ibumu kamu musnahkan disekolah dengan membantah cakap guru, malas buat latihan, membuang masa, tidak berusaha membina diri, melakukan perkara yang ditegah oleh sekolah dan masyarakat.
Namun ibumu tetap menyayangimu kerana kamu adalah anaknya, linangan air mata ketika mengadap pengetua menjelaskan segala kasihnya. Basah tudungnya oleh usapan air mata membayangkan kesalannya. Tunduk mukanya bersama kerutan wajah dan suara yang tertahan tidak pernah disangka akan terpaksa dizahirkan untuk membayangkan kesedihannya atas apa yang dibalas oleh anaknya.
Itulah sebahagian dari insan yang lupa pada pengorbanan dan harapan ibu mereka. Apakah anda ada termasuk dalam golongan ini. Atau ada sebahagian perkara pernah terjadi pada anda? Insaflah! Sementara kita masih boleh berpaling. Sementara kita masih ada ibu.
RAUNGAN INSAN BERNAMA IBU Dari beberapa banyak mel(kiriman menerusi internet)yang diterima, terdapat satu luahan rasa seorang insan yang menginsafi kesilapannya kepada ibunya yang telah kembali ke Rahmatullah. Beliau telah menemui satu sajak yang ditulis oleh ibunya sebelum ibunya meninggal. Dipaparkan sajak ini untuk renungan bersama.
INILAH MASANYA
Jika kau ingin menyintai ibu Cintalah ibu sekarang supaya ibu tahu Keindahan dan kelembutan kasih Yang mengalir kudus daripada sanubarimu
Cintalah ibu sekarang Semasa ibu masih hidup Usah tunggu sehingga ibu telah pergi Kemudian barulah diukir di batu nisan Dengan kata kata indah pada sekujur batu yang sepi
Jika kau memiliki ingatan manis buat diri ibu Tunjukkanlah pada ibu sekarang Jika kau tunggu sehingga ibu mati Sudah pasti ibu tidak dapat mendengar Kerana kita dibatasi kelemahan
Oleh itu, jika kau menyintai ibu Walaupun hanya secebis daripada lautan hidupmu Lafazkan dan buktikan sekarang Sementara ibu masih hidup Agar ibu dapat menikmati dan menyanjunginya

Ehsan : PPD Kuala Muda Yan
|